Kampung Orang Asli Sungai Bumbun
Kampung Orang Asli Sungai Bumbun adalah merupakan sebuah perkampungan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Mahmeri. Kampung ini terletak di Pulau Carey di dalam daerah Kuala Langat negeri Selangor. Pekan terdekat untuk kampung ini adalah pekan Teluk Panglima Garang dan bandar Banting serta Klang.
Anggaran bilangan penduduk adalah 500 orang pelbagai usia. Pekerjaan utama masyarakat disini adalah pekebun kecil kelapa sawit, usahawan kraftangan dan kebudayaan, peniaga dan pekerjaan sektor awam dan swasta serta nelayan.
Pentadbiran kampung ini diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) yang dilantik secara undian oleh penduduk kampung untuk tempoh dua tahun dibawah pemantauan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Jawatankuasa Adat Kampung diketuai oleh Tok Batin sebagai ketua kampung yang akan menjaga pengurusan berkaitan adat resam seperti perkahwinan, penceraian, kematian, perayaan dan juga harta pusaka. Selain itu juga Tok Batin berperanan menjaga keharmonian dan kesejahteraan kampung sebagai penasihat kepada JKKKOA yang dilantik.
Kampung Sungai Bumbun terkenal dengan kebudayaan dan kesenian yang dimiliki seperti tarian jo’oh, tarian topeng dan kraftangan ukiran kayu dan anyaman. Seni dan kebudayaan ini diwarisi turun temurun dan menjadi salah satu produk pelancongan. Selain itu perayaan hari moyang juga menjadi satu acara sambutan yang unik dan dihadiri oleh ramai pengunjung untuk melihat lebih dekat upacara sempena perayaan tersebut.
Kemudahan asas yang terdapat di kampung ini adalah seperti sekolah, bekalan elektrik, air, jalan berturap, balairaya, balai rawatan, kiosk usahawan kraf, pusat kebudayaan dan kraftangan.