Kampung Orang Asli Sungai Bumbun
Kampung Orang Asli Sungai Bumbun adalah merupakan sebuah perkampungan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Mahmeri. Kampung ini terletak di Pulau Carey di dalam daerah Kuala Langat negeri Selangor. Pekan terdekat untuk kampung ini adalah pekan Teluk Panglima Garang dan bandar Banting serta Klang.
Anggaran bilangan penduduk adalah 565 orang pelbagai usia dan isirumah seramai 160 orang. Pekerjaan utama masyarakat disini adalah pekebun kecil kelapa sawit, usahawan kraftangan dan kebudayaan, peniaga dan pekerjaan sektor awam dan swasta serta nelayan.
Pentadbiran kampung ini diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) yang dilantik secara undian oleh penduduk kampung untuk tempoh dua tahun dibawah pemantauan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Jawatankuasa Adat Kampung diketuai oleh Tok Batin sebagai ketua kampung yang akan menjaga pengurusan berkaitan adat resam seperti perkahwinan, penceraian, kematian, perayaan dan juga harta pusaka. Selain itu juga Tok Batin berperanan menjaga keharmonian dan kesejahteraan kampung sebagai penasihat kepada JKKKOA yang dilantik.
Kampung Sungai Bumbun terkenal dengan kebudayaan dan kesenian yang dimiliki seperti tarian jo’oh, tarian topeng dan kraftangan ukiran kayu dan anyaman. Seni dan kebudayaan ini diwarisi turun temurun dan menjadi salah satu produk pelancongan. Selain itu perayaan hari moyang juga menjadi satu acara sambutan yang unik dan dihadiri oleh ramai pengunjung untuk melihat lebih dekat upacara sempena perayaan tersebut.
Kemudahan asas yang terdapat di kampung ini adalah seperti sekolah, bekalan elektrik, air, jalan berturap, balairaya, balai rawatan, kiosk usahawan kraf, pusat kebudayaan dan kraftangan.
Pulau Carey
Pulau Carey terletak di daerah Kuala Langat negeri Selangor. Pulau ini dikenali sebagai Teluk Gonjeng pada masa dahulu sebelum ditukar ke Pulau Carey bersempena nama Edward Valentine John Carey, seorang pegawai ladang British di Malaya.
Kawasan Pulau Carey adalah kawasan perladangan getah sekitar tahun 1905 dibawah pengurusan Jugra Land dan Carey Ltd Rubber. Kini, ladang kelapa sawit merupakan pertanian utama dikawasan ini dibawah pegurusan Sime Darby.
Pulau Carey dipisahkan oleh sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Langat dari tanah besar dan dihubungkan dengan sebuah jambatan yang dibina pada tahun 1985. Sebelum ini feri digunakan untuk menghubungkan penduduk dengan tanah besar.